Tuesday, October 19, 2010

Kisah Khalifah Umar dan Seorang Yahudi Tua

Suatu hari ketika Khalifah Umar sedang membuat rondaan di sebuah pasar, beliau terlihat seorang tua yg uzur dan daif sedang berjalan terbongkok-bongkok menyusuri lorong di kaki lima pasar itu. Sesekali dia terhoyong-hayang dan terpaksa berpaut pada tongkatnya. Orang tua itu menghulurkan tangannya sambil meminta sedekah daripada orang yg lalu lalang di situ.

Khalifah Umar yg terkenal dengan sifat kemanusiaan yg tinggi mula terusik hatinya. Beliau menghampiri Yahudi tua itu sambil menyapa, "Mengapa begini sekali keadaanmu?"

Lelaki tua itu menjawab, "Hamba mengumpul wang untuk membayar jizyah tuan."

Apabila mendengar jawapan daripadanya, Khalifah Umar berkata, "Mulai saat ini engkau mesti berhenti dari meminta sedekah."

Khalifah Umar menghampiri pengiringnya sambil berkata, "Masa mudanya dihabiskan untuk memikul beban tanggungjawab. Hari tuanya kita biarkan dia sengsara. Mulai hari ini, potong namanya daripada senarai orang yg perlu membayar jizyah. Kemudian daftarkan dia dalam senarai orang tua yang layak menerima bantuan dari Baitulmal setiap bulan."

Melalui kisah ini kita boleh mengambil pengajaran yg sangat berguna. Bukanlah melalui nukilan ini kita digalakkan membantu orang Yahudi yg kini sedang menganiaya umat Islam di Palestin. Tetapi melalui kisah ini, kita dapat menyimpulkan bahawa Islam sangat menitikberatkan kesejahteraan umatnya tidak kira penganutnya daripada golongan dan keturunan mana sekalipun. Islam sangat adil kepada semua manusia walaupun orang itu bukan dari golongan yg beragama Islam. Dalam kisah ini, walaupun lelaki tua itu berbangsa Yahudi, namun dia juga berhak untuk dibantu. Umat Islam sentiasa digalakkan supaya saling membantu antara satu sama lain tidak kira bangsa, keturunan ataupun warna kulit. Selain digalakkan supaya saling membantu sesama muslim, kita juga digalakkan membantu mereka yg tidak seagama apabila mereka benar-benar memerlukan.

Cara yg sedemikian sebenarnya merupakan satu metod dakwah. Melalui keperibadian mulia yg ditonjolkan kepada golongan yg bukan beragama Islam, secara tidak langsung kita menjadikan mereka suka dengan ajaran Islam. Ketahuilah bahawa kita umpama cermin bagi agama. Jika sikap buruk yang ditonjolkan maka golongan bukan Islam akan melihat buruk ajaran Islam, jika baik sikap yang ditonjolkan maka golongan bukan Islam akan menyukai ajaran yang diterapkan oleh Islam.
Ketahuilah wahai golongan muslim, Islam tidak akan rugi jika tiada kita tetapi kita akan rugi jika tiada Islam.

Diedit dari kitab Tundukkan Hati karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat & Annual Bakri Haron

by: Umar Abdul Aziz

No comments:

Post a Comment

allahuakbar!!

islam untuk semua

anda juga mungkin meminati...

Related Posts with Thumbnails