Sunday, February 28, 2010

PILIH!! bercople atau jual mahal ha??










Bercouple Atau Jual Mahal
www.iLuvislam.com
oleh : NuurZaffan
Masa kecil saya pernah memikirkan, memang perlukah seorang yang dewasa ber`dating` sebelum melangkah ke alam perkahwinan? Kenapa saya bingung akan hal ini? Kecil-kecil lagi sudah gatal?
Bukan begitu.
Naluri kanak-kanak saya pada waktu itu merasakan tidak selesa dengan apa yang ditayangkan dikaca televisyen. Jikalau ceritanya tentang pasangan kekasih, sudah pasti ada adegan keluar makan berdua-duaan sebelum punya ikatan yang sah. Cerita tempatan apatah lagi luar negara, babak kekasih dilamun cinta sebelum berkahwin disusun dengan penuh teliti. Tetapi saya memang bingung. Memang perlukah begitu? Perlukah bercouple sebelum berkahwin? Nyata saya tidak selesa di awal usia kanak-kanak.
Cinta Monyet
Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah mahupun sekolah menengah saya jauh dari memahami erti ataupun mengalami cinta monyet. Istilah yang biasa tetapi sekadar mendengar. Ada sahaja rakan-rakan yang ber`cinta` seawal darjah lima.
Saya bingung. Memang terlalu muda untuk memahami tentang perkara ini. Maka tidak hairanlah mengapa saya bingung ketika itu. Pelik dan mencari-cari sebab mengapa ada yang bercinta seawal usia di darjah lima.
Di sekolah menengah, lain pula ceritanya. Kisah bercinta menjadi lebih hebat. Mungkin merasakan diri lebih matang sedangkan baru menginjak remaja. Kisah cinta disekeliling saya bermacam-macam. Kenyataan-kenyataan seperti; batch kami bercinta seperti tukar baju (pelajar batch tersebut sering bertukar-tukar pasangan ibarat menukar baju setiap hari), ada senior mengaku dia bercinta untuk mencari pengalaman. Aduh! Saya menjadi semakin bingung. Benarkah ini semua?
Erti couple, cinta dan perkahwinan
Kini setelah saya berusia dua puluh dua tahun, saya semakin mengerti. Kisah pasangan berdua-duaan yang saya fikirkan semasa kecil, bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan, Islam sebagai cara hidup menggariskan cara yang cukup indah dan sempurna untuk mengikat pertalian antara adam dan hawa. Kisah cinta monyet yang membingungkan semasa di zaman sekolah juga dapat saya cari jawapannya.
Buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol banyak membantu saya untuk memahami isu ini. Tambahan pula, semasa saya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, forum Tentang Cinta telah diadakan. Panel-panel terdiri daripada Ustaz Pahrol sendiri, Ustaz Hashim (trainer Fitrah Perkasa) dan Ustaz Hasrizal. Panel yang hadir cukup berpengalaman kerana mereka jauh lebih dewasa dan sudah berkeluarga.



Islam dan Cinta
Islam menganjurkan lelaki dan wanita bertaaruf iaitu berkenal-kenalan sebelum mengikat pertunangan. Cara bertaaruf menjaga adab dan syariat. Pasangan tidak berdua-duaan tetapi ditemani oleh orang tengah mahupun ibu bapa sendiri.
Bercinta pula perlu punya tujuan. Apa tujuan cinta monyet? Sekadar suka-suka atau untuk mencari pengalaman? Jika benar, bukankah itu alasan-alasan yang menyedihkan?
Bercinta adalah berkasih sayang. Mampukah untuk kita berkasih sayang dengan seseorang yang asing jika kita belum mampu menyayangi ahli keluarga sendiri? Maka jika benar, kita berkasih sayang dengan orang luar perlu sama seperti berkasih sayang dengan ahli keluarga sendiri. Tetapi adakah perkara ini benar-benar berlaku di antara pasangan yang menyatakan diri mereka bercinta?
Bagi saya, untuk memahami istilah cinta, saya perlu memahami erti mencintai diri sendiri, mencintai ahli keluarga, mencintai rakan-rakan dan yang lebih utama mencintai Allah dan RasulNya. Saya perlu menguasai erti cinta ini sebelum mencintai seseorang yang asing - lelaki dalam hidup seorang wanita. Terlalu teoritikal? Pandai-pandailah mencari cara untuk amalinya.
Semakin dewasa saya semakin memahami dan lihat sendiri teori-teori cinta secara praktikalnya (bukan saya yang bercinta, tetapi melihat realiti disekeliling). Cinta itu perlukan kepercayaan dan tanggungjawab. Cinta itu memberi tanpa mengharap balasan. Teori ini memang benar untuk menyelesaikan masalah-masalah perkahwinan yang saya ketahui(bukan menjaga tepi kain orang, tetapi mungkin diri sudah cukup dewasa memahami permasalahan ini) . Perkahwinan yang memang bergelora.
Sesekali terasa takut pula memikirkannya. Tetapi seperti kata emak; Jalan ini mudah sahaja jika manusia ambil jalan yang lurus. Tetapi hakikatnya, ada yang memilih yang bengkang-bengkok.
Jual mahal?
Setelah berusia dua puluhan dan masih tidak berpunya atau tidak pernah ber`boyfriend`, maka masyarakat amnya masih mempunyai stigma bahawa tuan punya badan mungkin jual mahal. Nasihat seperti , jangan jual mahal nanti tidak laku dan sebagainya dilontarkan.
Persoalannya, setelah beberapa perkara seperti di atas dibangkitkan, adakah benar bahawa seseorang yang tidak ber`boyfriend` itu wajar dikategorikan sebagai jual mahal atau memilih? Atau mungkin tuan punya badan sekadar menongkah norma masyarakat kerana tidak bersetuju dengan gejala couple yang dipandang sebagai satu kemestian dan kebiasaan? Atau mungkin tuan punya badan benar-benar memikirkan erti sebenar cinta dan berkasih sayang?
Isu yang berat untuk difikirkan bersama. Masakan tidak, di dalam hadis daripada Nabi s.a.w. yang menegaskan dengan maksud bahawa :
"Sesiapa yang telah berkahwin dikalangan kamu maka dia telah sempurnakan separuh dari urusan agamanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah atau separuh urusan agama yang selebihnya".
Masakan cinta dan perkahwinan perkara yang main-main sekiranya sebesar ini ganjaran yang dijanjikan Allah.
Tulisan ini sekadar perkongsian yang sudah mula saya fikirkan sejak kecil lagi. Mencari-cari apakah formulanya sedangkan Islam memang ada jawapannya. Tulisan ini juga sekadar muhasabah diri dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan mendoakan kakak kandung saya yang bakal melansungkan pernikahan Sabtu ini. Juga buat senior mahupun junior yang selamat diijabkabulkan sepanjang cuti ini. Tahniah dan selamat menempuh alam baru

~sahabatmu yang dekat~

Thursday, February 25, 2010

MAULIDUR RASUL

RASULULLAH

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran
Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya
Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran
Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu
Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela

JAMUAN AKHIR SEMESTER


Hari : Ahad
Tarikh : 15 November 2009
Tempat : Radix Fried Chicken, Alor Setar, Kedah
Masa : 2.30 petang – 5.00 petang

           Dengan menaiki bas biru IPDA kebanggaan warga institut, kami memulakan perjalanan ke RFC di Alor Setar yang terletak berhampiran Terminal Bas Shahab Perdana.Walaupun  perancangan awal untuk mengadakan jamuan di Restoran Kelubi  tidak menjadi kerana banjir namun kami tidak membiarkan perasaan terkilan menyelubungi hati kami.Nampaknya ikan siakap dan kailan ikan masin telah bertukar menjadi ayam goreng. hehehe.
       Setelah berurusan di kaunter pembayaran, kami bersedia untuk menjamah ayam goreng kegemaran ramai ini.Walaupun kami kekurangan rakan seperjuangan iaitu saudara Habib Nuh,Norazaluddin Azrin dan Aimanzaki yang mempunyai hal yang lebih penting, kami meneruskan majlis pada petang itu dengan bacaan doa makan.Alhamdullilah, kami tidak menghadapi masalah dengan tempat makan di situ kerana kami telah menempah tempat khas sehari sebelum majlis jamuan.

           Kami makan dengan senang hati dan gembira.Ada diantara kami rupa-rupanya telah ‘berpuasa’ pada sebelah pagi dan makan dengan berselera sekali hehehe…Walid kesayangan kami pula makan bersama dengan Ustaz-ustaz JAPIM dan pemandu bas pada hari itu.

          Kemudian, majlis diteruskan oleh pengerusi majlis,saudari Ummu Aiman.Beliau menyingkap kembali aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan sepanjang semester ini.Selepas itu, kami mendengar ucapan Ketua Kelas kami, saudara Wan Amiruddin , dan ucapan mentor, Ustaz Mohd Radzi  bin Lebai Mat.Ustaz tidak lupa menyentuh mengenai peperiksaan serta perkara-perkara berfaedah yang perlu dilakukan sempena musim cuti yang akan datang tidak lama lagi.

           Majlis diteruskan lagi dengan upacara penyampaian hadiah sempena Pertandingan Bowling yang diadakan tempoh hari.Hadiah-hadiah itu terdiri daripada piala-piala untuk 3 pemenang kategori lelaki dan perempuan serta kategori markah tertinggi.

           Sebelum pulang ke kolej kediaman, kami melawat ke Pustaka Darussalam yang terletak tidak jauh dari situ.Terdapat  banyak bahan ilmiah seperti buku-buku agama dan alatan tulis.Kebanyakkan dari kami tidak lupa untuk membeli pen khat untuk digunakan pada hari peperiksaan subjek Pengajian Islam 1 pada Rabu kelak.


       Kami tiba di IPDA kira-kira pukul 5.00 petang.Sebelum melangkah pulang menunaikan Solat Asar pada petang itu, kami menganbil gambar kenangan terlebih dahulu.Ternyata, pada semester ini, banyak kenangan manis yang terpahat di sanubari masing-masing.Terima kasih semua atas komitmen dan kerjasama anda untuk semester ini!Semoga ukhwah yang dibina kekal selamanya InsyaAllah…..










Sunday, February 21, 2010

Sahabatku, Jalan ini Bukan Mudah. Aku Bersamamu.




Sahabat..

Aku mencintaimu kerana Rasulullah memerintahkan aku mencintaimu. Ya,tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.


Sahabatku yang sangat aku cintai..

Sungguh,jalan yang kita lalui ini bukan jalan yang indah dan mudah. Jalan ini matlamatnya cantik dan mengkagumkan.Tapi, sungguh tidak dapat aku janjikan kepadamu jalan ini akan senang kau lalui. Bukankah sejarah membuktikannya, haq yang ingin dibawa tentu sekali akan ditentang.


Sahabat..

Bukankah dalam kita berdiskusi, seringkali kita ingatkan pejuang yang telah lama terkorban dulu? Sheikh Hassan Al-Banna,ditembak di pasar. Kerana apa? Kerana dia membawa yang haq! Syed Qutb,nyawanya tercabut menemui Rabb nya di tiang gantung? Kerana apa? Kerana dia membawa yang haq. Sheikh Ahmad Yassin dibunuh dengan misil yahudi laknatullah di hadapan masjid di subuh yang hening. Kerana apa? Kerana dia juga membawa yang haq!


Amanah ini untuk kita,sahabatku.Amanah ini untuk orang seperti kalian. Bukanlah aku ingin menggoyahkan semangat wajamu dan bahkan tidak sesekali. Tetapi sahabat,yang pasti ingin aku ingatkan janji Allah terhadap orang yang menolong agamanya, Allah pasti akan membantu urusannya. Aku ingin ingatkanmu kasih sayangNya dan rahmatNya terhadap hamba yang diredhaiNya. Bukankah senang nanti bila Allah tanyakan kepada kita: Apa yang kau gunakan masa mudamu dan aku dan kau serentak menjawab :Tuhan kami, Ya Rabb, masa muda kami dan masa tua kami diletakkan pada jalanMu. Adalah untuk Kau. Hanya untuk hidup dalam redhaMu walau kami ditekan. Untuk hidup dalam cinta kami kepadaMu.


Sahabat...

Peluru, tali gantung, pedang yang tajam, bahkan tekanan yang kuat dari pengalaman kehidupan sememangnya boleh melemahkan sesiapa sahaja. Tapi bukan engkau. Engkau dibina dengan tarbiyah. Dihiasi keindahan akhlak. Dilahirkan sebagai pendukung agama ini. Biar siapa sahaja pun engkau, biar apa sahaja kata orang,kau terus menguatkan langkah menyusur jalan in. Aku yakin,kerana kau sahabatku.


Sahabatku yang dikasihi..

Tidak dapat aku janjikan kesenangan dan kemewahan mengikut jalan ini. Tidak dapat aku berikan nama dan pangkat. Tapi akan aku tawarkan yang lebih baik dari segala itu. Akan kuberikan doaku semoga kau teguh dalam jalan ini .Akan ku bersama kau melangkah membawa haq dalam jalan ini. Akan aku luka dan berdarah bersama kau. Kerana kita saudara yang saling mencintai keranaNya.

Sungguh aku bersama mu.

Tulus,

Sahabatmu tercinta

Friday, February 19, 2010

PERTANDINGAN BOWLING

Hari : Isnin
Tarikh : 2 November 2009
Tempat : Pusat Bowling, Jitra Mall, Kedah
Masa : 2.30 petang- 5.30 petang
Selepas menunaikan solat zohor pada hari Isnin bersamaan dengan 2 November 2009, kami menunggu kedatangan van IPDA di hadapan kolej kediaman.Alhamdulillah, akhirnya kami didatangi bas IPDA yang lebih selesa untuk menuju ke Jitra Mall hehe….Rupa-rupanya kelas pemulihan Matematik/Bahasa Melayu/Bahasa Inggeris juga menuju destinasi yang sama untuk bermain bowling tetapi bukan dibawah kawalan mentor.
Setelah sampai di Pusat Bowling, kami mendapatkan ‘lane’ bowling yang telah ditempah tiga hari yang lalu.Pengurus kaunter telah memberi kami sekelas untuk menggunakan ‘lane’ 13 hingga ‘lane 19’.Kami turut mendapatkan kasut khas untuk bermain mengikut saiz kaki masing-masing.Selepas membahagikan kumpulan untuk 21 orang termasuk mentor kesayangan, Encik Mohd Radzi bin Lebai Mat, kami memulakan permainan bowling.
Walaupun ramai dalam kalangan kami tidak berpengalaman untuk bermain tetapi tidak disangka ramai yang mempunyai bakat terpendam.Tidak kurang juga yang menyapu longkang bersih hehe.Paling lucu sekali ialah gelagat mentee yang tidak pernah memegang bola bowling.Bola terjatuh dan tersilap memilih bola yang berat sampai sakit tangan membuatkan suasana gamat.
Selepas mengambil masa untuk bermain lebih kurang dua jam dengan gembira untuk dua sesi permainan kami berehat sambil menikmati roti dan air mineral.Bendahari kesayangan kami,saudari Syazwani membuat bayaran sebanyak RM160 di kaunter pembayaran.Kemudian, masing-masing sibuk mengira markah keseluruhan untuk mengetahui siapa dalam kalangan kami yang mendapat markah yang tertinggi sepanjang permainan bowling sebentar tadi.
Berikut merupakan nama rakan-rakan kami yang telah memenangi beberapa piala yang telah disumbang khas oleh mentor kami yang hebat:

Senarai pemenang peringkat lelaki ( L )

BIL NAMA MARKAH
1 Wan Amirudin bin Wan Nasri 213
2 Habib Nuh bin Che Hussin 201
3 Mohd Hafiziallah bin Hanifha 186


Senarai pemenang peringkat perempuan ( P )

BIL NAMA MARKAH
1 Nurhafiza binti Ahmad 169
2 Nurul Azurin binti Mohd Taupik 169
3 Nurul A’fifah binti Harun 155


Markah tertinggi : Wan Amirudin bin Wan Nasri

Walaupun mentor kami sendiri yang mendapat markah tertinggi dengan 229 terkumpul namun beliau sengaja mahu memberi peluang untuk kami supaya lebih banyak belajar permainan ini dan mendapat pengalaman serta boleh dipraktikan semasa kami bersama anak-anak murid pada masa akan datang.

Kami mengambil gambar kenang-kenangan sebelum meninggalkan Pusat Bowling pada hari tersebut.Ternyata aktiviti bersama mentor kali ini sangat bermakna dan tidak boleh dilupakan sepanjang aktiviti semester kali ini.InsyaAllah kami akan meluangkan masa pada hari-hari akan datang untuk bermain bowling bersama lagi.Kami bertolak pulang dengan bas IPDA dan selamat sampai di kolej kediaman kira-kira pukul 5.30 petang.


Wednesday, February 17, 2010

JUALAN SEMPENA HARI GERKO


Hari: Rabu

Tarikh : 28 Oktober 2009
Tempat : Padang berhadapan Astaka, Jitra , Kedah
Masa : 7.30 pagi-1.00 tengahari
Bersempena dengan Hari Gerko peringkat IPDA, kami pelajar PPISMP diarahkan untuk menjual makanan di gerai jualan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar.Kami telah mendapat persetujuan semua ahli kelas untuk menjual kuih-muih tradisional seperti cekmek, cucur ikan bilis, pisang goreng, cekodok dan ubi goreng.Selain itu, kami turut memilih untuk menjual ais minuman berkarbonat serta float.
Walaupun pada hari sebelumnya kami penat kerana turut menjadi penyokong peserta-peserta IPDA di Mahrojan Lughatul Arabiy di IPG Kampus Tuanku Bainun, semangat keusahawanan kami tidak luntur sama sekali.Lebih-lebih lagi kami mempunyai sifu istimewa yang diimport dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, Nurhayati, hehe.Bukan itu sahaja, idea menarik salah seorang dari rakan kelas kami iaitu Aimanzaki untuk meletakkan biskut oreo yang dihancurkan untuk membuatkan float jualan kami lebih istimewa juga membakar lagi semangat kami.
Berbekalkan juga semangat baju jalur biru kuning Satu Malaysia sempena merdeka tempoh hari,kami memulakan Hari Jualan kami dengan gembira.Walaupun gerai kami menyediakan makanan yang perlu dimasak terlebih dahulu, gerai kami tetap menjadi tumpuan.Pengunjung yang terdiri daripada warga IPDA, persatuan-persatuan dari luar dan pelajar sekolah berdekatan sabar menunggu kuih ‘azimat’ kami masak terlebih dahulu..
Alhamdulillah kuih kami sangat laris pada hari tersebut.Kemungkinan kewujudan ketua kelas, Amer di kaunter jualan membawa tuah.Maklumlah, beliau sangat terkenal dengan ‘mulut manisnya’ hehe..Kaunter jualan float turut tidak ketinggalan untuk mempromosikan minuman kepada pengunjung-pengunjung yang rata-ratanya dahaga kerana terlibat dengan kawat beruniform serta suasana yang panas terik.Kaunter minuman pada hari itu ditutup buat sementara waktu kerana kehabisan sumber air berkabornat.Nasib sangat menyebelahi kami kerana rakan kami, Solehuddin sanggup keluar untuk membeli sumber minuman baharu.
Dengan sistem giliran yang dibuat untuk menjaga gerai, kami semua sempat untuk mengunjung ke gerai-gerai lain dan melawat pameran pada hari tersebut.Terdapat pemeran wau dan pameran alatan-alatan yang didatangkan khas dari Kolej Tentera Udara.Pameran ini serba-sedikit dapat menambahkan pengetahuan kami tentang alatan tentera yang jarang boleh ditemui.
Sambil menjual, kami disajikan juga dengan senam seni yang yang dilakukan ditengah-tengah padang.Turut terdapat sukaneka yang terbuka kepada semua warga IPDA.
Setelah menghabiskan makanan dan minuman pada petang itu, kami mula mengemas barang-barang dan tempat jualan.Dengan gembira, kami mengira kopun sebagai hasil jualan dan kami memperoleh RM286.50.Nampaknya kerjasama kami,Mentor-Mentee dan Persatuan Dakwah& Kepimpinan membuahkan hasil yang lumayan.
Sebelum ‘menutup’ gerai pada hari itu kira-kira pukul 1.00 petang, kami sempat bergambar bersama sumber inspirasi , Encik Mohd Radzi bin Lebai Mat, mentor kami kami yang tersayang.Berkat kerjasama yang unggul sepanjang tempoh jualan, kami sekali lagi dapat menjayakan aktiviti Mentor-Mentee pada bulan ini.Semoga aktiviti lain pada masa akan datang juga diberkati Ilahi..Aminn..

mentor bersama menteenya...
habib dan ibrahim sedang menunjukkan bakat memasak
huda... kacau jangan tak kacau...
ustaz-ustaz yang serba boleh
di awal pagi yang indah...



Tuesday, February 16, 2010

Lawatan ke Muzium Padi

Hari : Isnin
Tarikh : 26 Oktober 2009
Tempat : Muzium Padi , Gunung Riang , Kedah
Masa : 2.40 petang – 5.35 petang
Selepas mengadakan perjumpaan mentor pada hari Rabu bersamaan 21 Oktober di Masjid An-Nur kami telah bersepakat dengan untuk mengadakan lawatan ke Muzium Padi yang terlatak berhampiran dengan Pusat Sains.Mentor kesayangan kami, Encik Mohd Radzi bin Lebai Mat turut mengajak beberapa orang ahli kelab tenis institut untuk menyertai lawatan sambil belajar ini.Kira-kira pukul 2.40 petang pada hari Isnin kami telah bertolak ke Muzium Padi.Pada asalnya kami telah bersetuju untuk memulakan lawatan pada pukul 2.00 petang tetapi kebanyakkan dari kami iaitu pelatih guru PPISMP semester satu agak kepenatan kerana terlibat dengan Bulan Bahasa Peringkat Negeri Kedah pada sebelah pagi.Kira-kira setengah jam kami telah sampai di Muzium Padi.Setelah membayar RM 1 dan RM 3 ( kamera ) untuk yuran lawatan di kaunter, kami diberi keizinan untuk melawat di sekitar Muzium Padi.Destinasi lawatan kami yang pertama adalah melawat di tingkat atas muzium yang memaparkan lukisan pemandangan di sekitar Gunung Riang.
Menurut pegawai yang bertugas, lukisan pemandangan y
ang sangat menarik itu diilhamkan oleh seorang pelukis Korea dan mengambil masa beberapa tahun untuk menyiapkannya.Kebanyakkan mentee yang mengikuti lawatan ini sangat teruja dengan lukisan tersebut kerana lukisan itu betul-betul ‘hidup’.
Lukisan ini memaparkan aktiviti sosial masyarakat di sekit
ar kampung di Gunung Riang seperti bersawah, berniaga, dan mengadakan kenduri.Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat melihat suasana yang harmoni serta semangat kerjasama yang dipraktikkan dalam masyarakat kampung tradisional.
Selepas itu, kami turun ke bahagian bawah untuk melihat pelbagai barangan yang digunakan oleh petani dan pesawah semasa melakukan aktiviti bersawah.Menurut informasi yang kami dapat selepas melihat papan tanda di situ, terdapat dua musim iaitu musim timur dan musim barat.
Semasa musim barat ( hujan ) aktiviti menanam padi dilakukan manakala pada musim timur ( kemarau ) aktiviti memotong padi dilakukan.Aktiviti menangkap turut dilakukan pada kedua-dua musim.Pada musim hujan terdapat pula lintah,sejenis kumpulan cacing tanah di kawasan sawah padi.Selain itu,terdapat juga alat-alat yang digunakan untuk mengangkut hasil padi pada zaman dahulu seperti anok dan gerek tua.Kami tidak melepaskan peluang untuk turut mengambil gambar bersama patung kerbau, yang juga merupakan salah satu haiwan yang digunakan untuk membajak.Paling menarik sekali adalah kerana bahasa kerbau juga dipaparkan untuk pengetahuan pelancong contohnya ‘haih’ bagi mengarahkan kerbau berjalan.Di sana juga dipamerkan mesin-mesin yang digunakan untuk memproses padi seperti mesin pelerai.Di samping itu, kami telah menimba banyak pengetahuan mengenai ‘semangat padi’ dan kawalan musuh yang dilakukan untuk menangani penyakit padi,tikus dan burung.Kami juga tidak lupa untuk mengambil gambar burung hantu yang jarang-jarang boleh dilihat pada siang hari.Kami bertolak pulang ke kolej kediaman selepas mengambil gambar kenangan bersama mentor.Kira-kira pukul 5.35 petang kami tiba di kolej kediaman.Walaupun penat kami berasa sangat seronok dan berharap dapat meluangkan masa bersama pada masa akan datang.

allahuakbar!!

islam untuk semua

anda juga mungkin meminati...

Related Posts with Thumbnails