Dia Ingin Kita Lebih Cantik
بسم الله الرحمن الرحيم
Sepasang datuk dan nenek pergi ke sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian, mata mereka tertuju kepada sebuah cangkir yang cantik.
“Lihat cangkir itu,” kata si nenek kepada suaminya.
“Hmm, inilah cangkir tercantik yang pernah aku lihat,” balas si datuk.
Ketika mereka mendekati cangkir itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksudkan itu berkata. “Terima kasih untuk perhatian kalian. Perlu diketahui bahawa aku dahulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cangkir yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun satu hari, ada seseorang dengan tangan yang kotor melempar aku ke dalam roda berputar. Kemudian, dia mulai memutar-mutar hingga aku berasa pening. Berhenti! Berhenti! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, belum! Lalu dia mulai menyodok dan menumbukku berulang-ulang kali. Berhenti! Berhenti! Teriakku lagi. Tapi orang itu terus saja menumbukku tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi, dia memasukkan aku ke dalam ketuhar. Panas! Panas! Teriakku dengan kuat.
Berhenti! Cukup! Teriakku lagi. Tapi orang itu berkata, belum! Akhirnya, dia mengeluarkan aku dari ketuhar itu dan membiarkan sehingga aku sejuk. Aku berfikir telah selesailah penderitaanku. Tetapi ternyata belum. Setelah sejuk, aku diserahkan kepada seorang wanita muda dan dia mulai mewarnai aku. Bau warna yang digunakannya begitu memualkan. Berhenti! Berhenti! Aku berteriak.
Wanita itu berkata, belum! Lalu dia memberikan aku kepada seorang lelaki dan dia memasukkan aku ke dalam ketuhar yang lebih panas dari sebelumnya! Tolong! Hentikan penyeksaan ini! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya. Tetapi lelaki itu tidak peduli dengan teriakanku. Dia terus membakarku. Setelah puas ‘menyeksaku’, aku dibiarkan sejuk.
Setelah benar-benar sejuk, seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku di dalam sebuah almari kaca. Aku melihat diriku. Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya kerana di dalam cermin di hadapanku adalah sebuah cangkir yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaan yang aku lalui sirna tatkala aku melihat diriku.”
PENGAJARAN: Begitulah Allah membentuk kita. Pada saat Allah SWT membentuk kita, tidaklah menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi, itulah satu-satunya cara bagiNya untuk mengubah kita supaya menjadi cantik dan memancarkan kemuliaanNya.
Anggaplah sebagai satu kebahagiaan apabila kita jatuh ke dalam pelbagai dugaan, kerana kita tahu bahawa ujian terhadap kita menghasilkan ketekunan. Dan biarkanlah ketekunan itu menghasilkan buah yang matang supaya kita menjadi lebih baik dan utuh.
Apabila sedang menghadapi ujian hidup, jangan berkecil hati kerana Dia sedang membentuk kita. Pembentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai, kita akan melihat betapa cantiknya Allah membentuk kita.
Lebih-lebih lagi Dia telah berjanji dalam kalan-Nya, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Pada siapa lagi harus diletakkan sepenuh kepercayaan jika bukan pada Pencipta kita Yang Maha Agung.
Wallahu a’lam.
Sumber: Blues Selamanya, Isu 92.
No comments:
Post a Comment