HARI : ISNIN
TARIKH : 8 FEBRUARI 2010
TEMPAT : RESTORAN BENDANG D’KELUBI
MASA : 12.00 TENGAHARI-2.30 PETANG
Kira-kira jam 12.00 tengahari kami memulakan perjalanan ke Restoran Bendang Kelubi yang terletak tidak jauh dari Pekan Jitra.Semuanya kelihatan sabar dalam perjalanan walaupun masing-masing mengakui perut berkeroncong sejak kelas Kemahiran Berfikir lagi.Alhamdulillah, kali ini kami berjaya untuk mengadakan jamuan di restoran tersebut walaupun pada semester lepas rancangan ini kurang menjadi kerana dilanda banjir.
Mentor kami , ustaz Mohd Radzi bin Lebai Mat bersama dengan Ustaz Azhar salah seorang pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam & Moral sampai di restoran lebih awal.Sambil menunggu makanan di hidang, kami berehat sambil menunggu kedatangan isteri Ustaz Mohd Radzi yang bakal menjamu selera bersama-sama kami.
Jamuan dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Ibrahim bin Abdul Halim.Ternyata lauk udang sambal,ikan patin masak tempoyak,sayur campur,sambal belacan dan telur dadar sangat membuatkan kami yang kelaparan kecur air liur.Walaupun ada yang berpantang lauk udang kerana mengalami masalah kesihatan namun beliau tetap berselera makan pada tengahari tersebut.Maklumlah, makan secara berjemaah ini lebih berkat dan mengeratkan ukhwah antara kami.
Selepas makan, majlis dibuka pula secara berprotokol dan dipengerusikan oleh Saudara Iqbal bin Shahidan.Ucapan alu-aluan seterusnya di sambung oleh saudara Nuruddin bin Zakaria yang memegang jawatan sebagai Ketua Kelas sepanjang semester ini dan turut merangkap Exco Kerohanian & Sahsiah, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPGMKDA).Ucapannya juga banyak menyentuh mengenai tanggungjawab sebagai pemimpin, pendidik sekaligus mengenai hubungan antara manusia dengan pencipta yakni Allah s.w.t yang sama sekali tidak boleh dilupakan.
Tuan pengerusi juga turut menjemput Nur Syazwani bt Mohd Nasir,Bendahari kelas dan juga pelopor blog mentor mentee IPGMKDA untuk memberi ucapan berkaitan blog yang direka khas untuk mendokumentasikan setiap program yang dijalankan di bawah persatuan Mentor Mentee.Blog ini juga boleh disertai oleh kumpulan lain untuk penambahbaikan dan komen.Setiap ahli boleh menyumbangkan idea-idea Islamik seperti tazkirah serta dapat memuat turun foto-foto yang berkaitan dengan program Mentor Mentee.
Antara acara kemuncak pada hari tersebut ialah ucapan dari Ustaz Mohd Radzi bin Lebai Mat, penyumbang informasi bernas dan juga selaku motivator kumpulan PPISMP Semester 2 PIQ / BI /BA.Ucapan beliau banyak berkisar mengenai perancangan program Mentor Mentee jangka pendek dan jangka panjang.Beliau menekankan aspek kewangan dan bajet kerana aspek ini merupakan elemen major yang patut diberi perhatian khusus dalam merealisasikan setiap aktiviti.Di samping itu, ustaz bersungguh-sungguh memberi kata-kata semangat untuk kami berjuang dalam bidang akademik.
Selepas berkhirnya ucapan tersebut, lalu berakhirlah majlis jamuan kami pada hari tersebut.Kami mengambil gambar kenangan di sekitar restoran Bendang D’Kelubi dan melakukan solat jemaah Zohor di surau.Kira-kira jam 2.30 petang kami pulang ke Kolej Kediaman dengan bas biru kebanggaan kami,bas IPGMKDA.Kami sangat berharap dapat meluangkan masa untuk makan bersama-sama untuk masa akan datang.
maaf dipinta, dokumentasi baru dimuatkn di blog, walaupun program tlh lama berlalu... :)
terima kasih kepada ummu kerana telah banyak membantu membuat dokumentasi semua program.. syukran jazilan ya ummu...
No comments:
Post a Comment