Wednesday, April 21, 2010

REMPUH HALANGAN DAN ‘WALL CLIMBING’ DI KEM SINGKIR

Hari : Sabtu
Tarikh : 27 Mac 2010
Tempat : Pusat Kokorikulum Kedah, Kem Singkir, Yan, Kedah
Masa : 7.30 pagi – 4.00 petang

Pada pagi Sabtu yang cerah, kami sangat gembira kerana akan bertolak ke Kem Singkir, Yan, Kedah. Semangat kami semakin berkobar-kobar kerana mengenakan jersi merah adidas baru ‘made in’ Padang Besar hehe…Semua berkumpul awal di hadapan kolej kediaman kerana masing-masing sudah mendapat arahan daripada saudara Solehudin, ahli jawatankuasa yang menguruskan hal pengangkutan untuk program kali ini.

Gambar 1.1 Bergambar kenangan dengan ‘banner’ sebelum bertolak
Selepas mengambil Tuan Haji Badaruddin, pensyarah Pendidikan Jasmani kesayangan kami di tol Alor Setar, bas meneruskan perjalanan ke kawasan rehat dan rawat ( RnR ) Gurun untuk memberi peluang kepada kami mengisi perut terlebih dahulu. Maklumlah, kami masing-masing memerlukan tenaga yang mencukupi untuk menghadapi cabaran-cabaran yang menanti di Pusat Kokorikulum Kedah nanti



Gambar 1.2 Menikmati hidangan pagi di RnR

Dalam perjalanan kami sempat melihat para pelajar sekolah melakukan aktiviti merentas desa. Tidak kami sangka, rupa-rupanya kami sudah hampir ke destinasi. Kedudukan kem ini agak tinggi iaitu di atas bukit dan pemandangan sawah padi yang di lihat dari atas sangatlah menarik. Subhanallah, indah sungguh ciptaan alam semulajadi!




Gambar 1.3 Papan tanda Pusat Kokurikulum Negeri Kedah

Setibanya kami di kem tersebut, para jurulatih mula mengambil alih tugas Tuan Badaruddin untuk mengawal kami. Di sana, aktiviti yang dilakukan terbahagi kepada dua bahagian iaitu teras dan pilihan. Untuk bahagian teras, kami wajib untuk melakukan kawad kaki dengan mendengar arahan jurulatih di situ, iaitu Tuan Zakaria.
Sebahagian daripada kami yang belum pernah berkawad mengakui bahawa aktiviti ini sedikit sebanyak mereka untuk lebih berdisiplin dan belajar untuk menerima arahan dengan betul.
Selepas itu, kami mendapat sedikit taklimat oleh salah seorang jurulatih di situ. Beliau pernah menjadi pelatih di bawah arahan Tuan Badaruddin sebelum ini. Justeru, beliau mengatakan bahawa kami sangat bertuah kerana berpeluang untuk menyertai aktiviti rempuh halangan dan ‘wall climbing’ di situ.
Beliau juga memberitahu tentang latar belakang Pusat Kokorikulum tersebut serta kemudahan infrastruktur lain yang disediakan seperti berkayak, berbasikal, paintball dan banyak lagi.
Tanpa melengahkan masa, beliau membawa kami ke tempat ‘ wall climbing ‘. Beliau menerangkan kepada kami serba-sedikit mengenai peralatan-peralatan yang digunakan untuk aktiviti ini. Selain itu, beliau menegaskan tentang teknik untuk melakukan aktiviti ini iaitu menggunakan daya tolakan kaki untuk memanjat. Untuk mengelakkan rasa penat semasa memanjat, posisi badan mesti dirapatkan ke dinding.

Gambar 1.4 Berpakaian lengkap sebelum aktiviti ‘wall climbing’

Kami juga berasa terjamin tentang keselamatan kami kerana beliau ada mengatakan bahawa alatan-alatan yang digunakan telah mendapat pengiktirafan salah satu organisasi dunia. Alatan itu juga mempunyai tarikh luput dan ditukar setelah enam bulan digunakan bagi memastikan kekuatannya menampung berat badan sekaligus menjamin keselamatan peserta.

Gambar 1.5 Peserta berusaha memanjat untuk ke puncak

Banyak gelagat yang boleh dilihat sepanjang melakukan aktiviti ‘wall climbing’. Kebanyakkan daripada kami tidak pernah melakukan aktiviti walaupun beberapa orang daripada kami telah menjalani Program Latihan Khidmat Negara.
Suasana agak cemas seketika kerana salah seorang daripada pelajar perempuan pengsan semasa melakukan aktiviti. Namun, alhamdullillah, beliau selamat dan sihat untuk melakukan aktiviti rempuh halangan yang lebih mencabar selepas itu.
Sebelum meneruskan aktiviti rempuh halangan ( track obstacles ), kami melakukan aktiviti memanaskan badan yang diketuai oleh saudara Aiman Zaki. Beliau melakukan gaya memanaskan badan seolah-olah untuk atlet ragbi. Kami mendapat sedikit taklimat mengenai 16 ‘port’ bagi pelan rempuh halangan iaitu merangkumi vertical ladder, rope ladder, trip tyre, graduated balance, foot wall, net crawl, espalier, sloping wall with rope, tunnel, horizontal beams, balancing stumps, triple wall, four step of beam, swinging over ditch, monkey rack, dan swinging board.
Semasa melalui tunnel, kami dikejutkan dengan ‘lembaga’ yang dibalut dengan kain putih seperti hantu bungkus.. Menurut jurulatih, ‘lembaga’ itu digunakan untuk aktiviti berjalan malam dan malam burung hantu yang menguji keberanian seseorang peserta.

Gambar 1.6 ‘Horizontal beams’ merupakan salah satu aktiviti rempuh halangan bagi peserta

Antara port yang paling menarik ialah di swinging rack dan monkey rack. Kedua-dua aktiviti ini menjadi aktiviti yang paling takut dalam kalangan peserta kerana ia menguji ketahanan otot tangan. Jika tidak mampu untuk ke seberang, peserta akan jatuh ke dalam air yang menyajikan air longkang dan telur katak huhu…Ramai pelajar perempuan yang jatuh ke dalam air dan mereka tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan dengan baju yang basah


Gambar 1.7 Aktiviti ‘Monkey rack’ banyak menguji kekuatan otot tangan peserta

Selepas menunggu peserta yang terakhir menyeberangi swinging board, kami berkumpul bersama pensyarah dan jurulatih untuk mengambil gambar beramai-ramai. Dengan berlatarbelakangkan dinding ‘wall climbing’ kami semua tersenyum puas kerana program yang dirancang sebulan yang lalu berjaya direalisasikan. Alhamdullillah. Bukan itu sahaja,majlis penyerahan cenderahati yang dilangsungkan secara kecil-kecilan juga berjalan lancar.

Gambar 1.8 Foto kenangan bersama jurulatih Kem Singkir, Yan

Kami bertolak pulang selepas membersihkan diri dan menunaikan solat Zohor. Walaupun penat dengan dua aktiviti tersebut, kami masih sempat untuk bersantai sebentar di Pantai Murni, Yan sambil menikmati ais batu campur.
Kami tiba di kolej kediaman IPGM Kampus Darul Aman kira-kira pukul empat petang. Kami sangat bersyukur kerana aktiviti ini dapat menguji kehebatan fizikal dan mental kami di samping memenuhi syarat untuk aktiviti riadah& rekreasi bagi subjek Pendidikan Jasmani.

Gambar 1.9 Ais kacang yang sangat sedap

Selain itu, ukhwah yang terbina antara kami juga semakin erat. Kami juga sangat berterima kasih kepada Tuan Hj Badaruddin kerana memberi tunjuk ajar dan motivasi sepanjang melakukan aktiviti ini. Tidak lupa juga kepada pihak pentadbiran IPGM Kampus Darul Aman dan mentor kesayangan kami, Encik Mohd Radzi bin Lebai Mat, kerana memberi keizinan untuk kami melakukan program ini diluar kawasan kampus. Terima kasih semua!

No comments:

Post a Comment

allahuakbar!!

islam untuk semua

anda juga mungkin meminati...

Related Posts with Thumbnails